GADONG, Khamis 6 Februari 2025 – Satu Majlis Khatam Al-Quran telah diadakan sebagai salah satu program sebelum perbarisan tamat latihan bagi pelatih-pelatih rekrut lelaki dan wanita Skuad 1/2023 Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Majlis Khatam yang diungkayahkan oleh Pusat Latihan Polis (PLP) berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong yang melibatkan pelatih-pelatih Polis Konstabel Lelaki dan Wanita Skuad 1/2023 seramai 86 pelatih. 

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Amat Mulia SAC, Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah, Bin Pengiran Indera Setia DiRaja, Sahibul Karib, Pengiran Anak Haji Idris, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, dan Isteri. 

Turut hadir, Pengarah-pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-pegawai, keluarga-keluarga pelatih para pelatih rekrut yang diraikan. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran diketuai oleh Rekrut 7120 Md Nadzri bin Haji Abdul Mutalib. 

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Rekrut 7127 Mohd Noorzikry bin Norariffin dan seterusnya bacaan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Rekrut 7107 Muhammad Faiz Saifullah Bin Rosli dan diselajurkan dengan acara merenjis minyak wangi oleh tetamu kehormat dan diikuti oleh jemputan-jemputan yang hadir. 

Para Pelatih Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2023 juga tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Tetamu Kehormat dan isteri. 

Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Rekrut 7121 Muhammad Akmal Hakim bin Awg Haji Suut. 

Pelatih-pelatih Rekrut Skuad 1/2023 ini akan menamatkan latihan kepolisan dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang akan diadakan pada 13 Februari 2025 bertempat di Padang Kawad Besar PLP. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS PASUKAN 

POLIS DIRAJA BRUNEI