BRUNEI-MUARA, Jumaat, 31 Januari 2025 – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya mematahkan satu percubaan penyeludupan barang tegahan melalui perairan negara.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam itu, sebuah bot peronda POLMAR telah mengesan sebuah perahu mencurigakan bergerak laju tanpa menggunakan lampu, menuju ke kawasan Kampong. Bertindak atas kecurigaan tersebut, POLMAR segera mengejar dan menjejaki perahu tersebut.
Menyedari kehadiran bot penguatkuasa, suspek bertindak melarikan diri dengan memasuki kawasan bawah perumahan di kawasan Kampong Ayer. Suspek seterusnya sempat membuang muatan yang dibawa ke kawasan hutan bakau sebelum melarikan diri.
Berikutan insiden itu, satu operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah digerakkan bagi mengesan bot suspek serta kotak-kotak yang dibuang.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, beberapa kotak yang ditinggalkan suspek telah ditemui. Siasatan lanjut mendapati kotak-kotak tersebut mengandungi barangan tegahan iaitu 1000 katon rokok berlainan jenis. Kesemua barang tegahan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan lanjut.
Polis Marin akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah yang menggunakan perairan negara. Orang ramai juga diseru untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan demi memastikan keselamatan dan keamanan perairan Negara Brunei Darussalam terus terpelihara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
