BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 25 Januari 2025 – Pegawai dan anggota-anggota daripada Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei telah memberikan latihan bagi Kursus Penguatkuasaan Pemerdagangan Orang kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. 

Antara objektif latihan ini adalah untuk meningkatkan pelaksanaan kursus latihan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai agensi berkepentingan bagi meningkatkan lagi daya kapasiti penguatkuasaan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya di dalam isu-isu jenayah pemerdagangan orang. Latihan ini diikuti oleh beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang seperti daripada Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan. 

Latihan ini bertujuan mengenal pasti dan memahami elemen serta petunjuk jenayah pemerdagangan orang, termasuk eksploitasi melalui paksaan, penipuan, atau penyalahgunaan kuasa seperti perhambaan seksual, pelacuran, buruh paksa, dan penjualan organ. Pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 5(1) dan Seksyen 6 Akta Anti-Pemerdagangan Orang Penggal 230, dengan hukuman berupa denda sehingga BND$1,000,000.00, penjara 4 hingga 30 tahun, dan sebatan. 

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI