GADONG, Jumaat 24 Januari 2025 – Satu Majlis Doa Kesyukuran sempena Upacara Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung pada 18 Januari 2025, telah dianjurkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) PPDB bertempat di Surau Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pemangku Pesuruhjaya Polis, PPDB, bersama Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, isteri Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB dan selaku Pengerusi Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, DSP Aimi Safwan bin Zalidin, Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, serta Pengarah-Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, dan anggota pangkat rendah PPDB termasuk ahli-ahli PEKERTI.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah, yang diimamkan oleh Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan bacaan doa kesyukuran dan diakhiri dengan bacaan doa penutup, memohon keberkatan dan rasa syukur atas kejayaan istiadat berkenaan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI