KUALA BELAIT, KHAMIS, 19 NOVEMBER 2026 – Balai Polis Panaga, Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima lawatan daripada rombongan Sekolah Rendah Chung Ching Seria yang terdiri daripada 58 orang pelajar Kindergarten 2 bersama empat orang guru.
Lawatan tersebut turut disertai pegawai dan anggota dari Daerah Polis Belait, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) Batu 3 serta Pasukan Simpanan Polis ‘A’ Kompeni (RU’A’).



Sepanjang lawatan, rombongan diberikan pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab pihak polis melalui beberapa aktiviti, antaranya lawatan ke sekitar Balai Polis Panaga serta pameran aset dan peralatan kepolisan oleh Unit Sokongan Siasatan Tempat Kejadian Daerah (DCSSU) Belait, Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak (USJPWKK) Belait dan JSKLL.
Rombongan juga menyaksikan pertunjukan Taktik Kontak Polis, persembahan kawad oleh anggota Daerah Polis Belait dan kawad rusuhan, serta pameran kenderaan dan motosikal polis. Lawatan diakhiri dengan sesi pembentangan oleh Penolong Penguasa Polis (Percubaan) Pg Muhd Azam Syukri Bin Pg Hj Ali Pegawai Menguasa Balai Polis Panaga, dan USJPWKK Belait.



Lawatan seumpama ini diharap dapat menambah pengetahuan para pelajar mengenai tugas dan tanggungjawab PPDB, di samping memupuk kesedaran keselamatan serta mengeratkan hubungan antara pihak polis dengan masyarakat, khususnya golongan pelajar.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
