BRUNEI-MUARA, RABU, 28 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima lebih daripada 300 laporan sejak Januari 2026 berhubung panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan, institusi kewangan dan organisasi lain. Penyamaran tersebut melibatkan pegawai polis, majistret, pegawai Jabatan Perkhidmatan Elektrik, pegawai kastam dan pegawai bank. Kegiatan ini melibatkan kira-kira 600 nombor telefon tempatan dan menyebabkan jumlah kerugian melebihi BND5.5 juta.

‘Scammer’ lazimnya menghubungi mangsa dan mendakwa bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran akaun bank atau bil utiliti, atau bungkusan (parcel) atas nama mangsa didapati mengandungi kad ATM dan kad SIM. Bagi meyakinkan mangsa, ‘scammer’ turut menggunakan dokumen dan kad pengenalan palsu seperti kad waran, surat rasmi atau waran tangkap yang dihantar melalui aplikasi media sosial. Dakwaan sedemikian bertujuan menimbulkan kebimbangan dan ketakutan, sekali gus memperdaya mangsa supaya mempercayai penyamaran tersebut dan mematuhi arahan yang diberikan.

Kegiatan ini juga melibatkan penyalahgunaan kad SIM dan akaun bank yang didaftarkan atas nama individu tempatan. Dalam sesetengah keadaan, individu terbabit dipercayai menyerahkan atau menyewakan kad SIM atau akaun bank mereka kepada pihak yang tidak mereka kenali. Kad SIM keldai ini digunakan oleh ‘scammer’ untuk menghubungi bakal mangsa melalui panggilan atau mesej. Penggunaan nombor telefon tempatan memberikan gambaran seolah-olah panggilan tersebut dibuat dari dalam negara oleh pihak yang sah, sekali gus menyukarkan mangsa untuk mengesyaki penipuan dan menjadikan penyamaran tersebut lebih meyakinkan.

Akaun keldai (mule account) memainkan peranan utama dalam membolehkan penipuan ini berlaku. Tanpa talian atau akaun tempatan tersebut, ‘scammer’ tidak dapat menerima wang daripada mangsa. Wang hasil penipuan dimasukkan ke dalam akaun keldai sebelum dipindahkan ke akaun lain secara berperingkat, sekaligus menyukarkan proses pengesanan aliran wang serta mengurangkan peluang untuk mendapatkan semula wang mangsa. Penyerahan atau penyewaan akaun bank kepada pihak lain secara langsung membantu ‘scammer’ mengaut keuntungan daripada kerugian mangsa, dan pemilik akaun berkenaan boleh dikaitkan sebagai bersubahat dalam kes penipuan tersebut.

Sehubungan itu, PPDB menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon atau mesej yang mencurigakan dan tidak mendedahkan maklumat peribadi, lokasi atau perbankan kepada pihak yang tidak dikenali. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyerahkan atau menyewakan kad SIM, atau membenarkan akaun bank atas nama sendiri digunakan oleh pihak lain bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

Sekiranya menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan, orang ramai hendaklah membuat pengesahan terlebih dahulu melalui saluran rasmi agensi atau institusi berkaitan dan tidak membuat sebarang pemindahan wang berdasarkan arahan yang meragukan.

Sebarang maklumat atau pertanyaan berkaitan kegiatan penipuan boleh disalurkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI