GADONG, SABTU, 3 OKTOBER 2026 – Seramai 54 orang Rekrut Konstabel Polis Lelaki Skuad 1/2026 telah menamatkan Latihan Asas Kepolisan selama sembilan bulan menerusi Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis (PLP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB, bersama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB.
Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan PPDB serta ahli-ahli keluarga para rekrut.




Upacara dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan ucapan Tetamu Kehormat yang antara lain menyentuh mengenai cabaran sepanjang Latihan Asas Kepolisan yang menguji ketahanan mental dan fizikal yang setentunya bertujuan untuk mempersiapkan para rekrut agar dapat menjalankan tugas polis dengan berkesan dan yakin.
Dalam ucapan tersebut, Tetamu Kehormat turut mengingatkan kembali Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Peribadi Baginda, antaranya mengenai kepentingan kejujuran, ketelusan, tanggungjawab dan disiplin yang kukuh dalam memastikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis terus utuh serta menjadi benteng dalam menghadapi cabaran moral dan etika.
Dalam menjunjung tinggi Titah Baginda ini, Tetamu Kehormat menyeru semua warga pasukan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dengan menanai deklarasi yang setiap warga polis ikrarkan semasa mula berkhidmat di bawah bab 21 Akta Pasukan Polis Diraja. Selain itu Tetamu Kehormat menekankan agar para rekrut dan seluruh warga pasukan untuk sentiasa menghayati dan mempraktikkan jati diri serta nilai-nilai teras pasukan semasa bertugas dan juga dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, Tetamu Kehormat dijemput oleh Pemangku Komandan PLP, Penguasa Polis Hajah Mariyani binti Haji Abdul Wahab, untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para rekrut terbaik.
Hadiah Rekrut Terbaik dalam Akademik disampaikan kepada Rekrut 7214 Awangku Ahmed Syakir bin Pengiran Adi Puspa, Rekrut Terbaik dalam Latihan Jasmani kepada Rekrut 7200 Muhammad Hadizul Farhan bin Haji Muhammad Zailaney, dan Rekrut Terbaik dalam Kawad dan Terbaik Keseluruhan kepada Rekrut 7224 Muhammad Hadi Mus’liadi bin Hasmadi.




Bacaan doa selamat bagi memberkati upacara tersebut disempurnakan oleh APO Staf Sarjan 6472 Md Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong.
Upacara diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan masa cepat, diikuti dengan bacaan ikrar polis oleh para rekrut. Setelah itu barisan rekrut mara ke hadapan untuk diperhati semula. Perbarisan diakhiri dengan para rekrut keluar baris dalam masa perlahan menandakan tamat latihan dan telah menjadi Konstabel Polis baru yang terlatih.



Selesai upacara perbarisan, atur cara diteruskan di Dewan Serbaguna PLP dengan acara menandatangani lembaran kenang-kenangan oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan sesi memperkenalkan Konstabel Polis baru yang telah berjaya menamatkan latihan serta sesi bergambar ramai.





PPDB merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Konstabel Polis Lelaki Skuad 1/2026 yang telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang, serta mengucapkan selamat maju jaya dalam melaksanakan tugas dan amanah sebagai warga PPDB demi agama, raja, bangsa dan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
