GADONG, KHAMIS, 1 OKTOBER 2026 – Pusat Latihan Polis (PLP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026 sebagai sebahagian daripada program menjelang Upacara Perbarisan Tamat Latihan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna PLP tersebut disertai oleh 54 orang Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB, bersama isteri, Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri & Keluarga Polis (PEKERTI).
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, bersama isteri, Yang Mulia Datin Dayang Nur Akmalia binti Lt Kol (B) Awang Iskandar, Pengerusi PEKERTI; Pengarah-Pengarah; Timbalan-Timbalan Pengarah; pegawai-pegawai kanan; pegawai-pegawai PPDB serta keluarga para pelatih yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Rekrut 7214 Awangku Ahmed Syakir bin Pengiran Adiputra.
Ini diikuti dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang diketuai oleh Rekrut 7201 Muhammad Ridhwan Aminuddin bin Irwan dan bacaan Marhaban yang diketuai oleh Rekrut 7221 Mohammad Azharuddin Fakhrullah bin Mohamad Isa.
Bacaan Doa Khatam Al-Quran kemudiannya disempurnakan oleh Rekrut 7201 Muhammad Ridhwan Aminuddin bin Irwan. Acara diteruskan dengan sesi merenjis minyak wangi oleh Tetamu Kehormat, diikuti oleh para jemputan yang hadir.
Pada majlis tersebut, para pelatih turut menyampaikan cenderahati kepada Tetamu Kehormat sebagai tanda penghargaan.



Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Rekrut 7206 Muhammad Almaten bin Zahari.
Pelatih Rekrut Polis Konstabel Lelaki Skuad 1/2026 dijadualkan menamatkan latihan kepolisan menerusi Upacara Perbarisan Tamat Latihan pada 3 Oktober 2026 di Padang Kawad Besar, PLP.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
