BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 24 September 2026 – Negara Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah bagi mesyuarat ‘Regional Cooperation Agreement on Combating Piracy and Armed Robbery against Ships in Asia Information Sharing Centre (ReCAAP ISC) Cluster Meeting 2026’ yang berlangsung pada 22 hingga 23 September lalu, anjuran bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan (PPMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari Negara Brunei Darussalam, Kerajaan Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Indonesia, Republik Filipina, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam bagi membincangkan perkembangan semasa serta isu-isu berkaitan keselamatan maritim di rantau ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis pembukaan mesyuarat tersebut ialah Yang Mulia Pesuruhjaya Polis Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, PPDB. Turut hadir ialah Yang Mulia Zulhusam bin Haji Abdul Samad, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-Undang), JPM, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Gerakan, PPDB, Dr Vijay Digambar Chafekar, Pengarah Eksekutif, ReCAAP ISC, dan Komander Malek bin PDJLD DSP Haji Kefli, Pengarah PPMK, JPM serta pegawai-pegawai kanan dan para peserta mesyuarat.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Gerakan, PPDB, diikuti dengan ucapan pembukaan dan perasmian mesyuarat oleh Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC. ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 menyediakan platform kepada negara-negara peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman, di samping memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang menjadi kepentingan bersama.



Antara perkara utama yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut ialah situasi semasa serta usaha-usaha berterusan untuk mengurangkan risiko kegiatan lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal. Perbincangan tersebut turut memberikan peluang kepada negara-negara peserta untuk berkongsi perspektif, pengalaman dan usaha masing-masing dalam menangani ancaman berkenaan, di samping mengenal pasti pendekatan yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan keselamatan dan perlindungan kapal serta para pelaut, sekali gus mewujudkan persekitaran maritim yang lebih selamat di rantau ini.Penganjuran ReCAAP ISC Cluster Meeting 2026 di Negara Brunei Darussalam mencerminkan kepentingan kerjasama dan perkongsian maklumat dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang merentasi sempadan negara. Melalui perbincangan dan pertukaran pandangan antara negara-negara peserta, mesyuarat ini bertujuan untuk terus memperkukuh hubungan kerja, persefahaman bersama serta usaha kolektif dalam mendukung keselamatan dan kestabilan maritim serantau.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
