KUALA BELAIT, KHAMIS, 17 SEPTEMBER 2026 – Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah mengadakan Jerayawara Mengukuhkan Ukhuwah Pengawasan Kejiranan 2026 yang berlangsung di Dewan Intisar, Jabatan Daerah Belait.

Jerayawara yang berlangsung selama tiga hari, bermula 14 hingga 16 September 2026, dihadiri seramai 37 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) di bawah tadahan Daerah Polis Belait, terdiri daripada penghulu, ketua-ketua kampung serta wakil pegawai keselamatan daripada Syarikat Brunei Methanol Company Sendirian Berhad.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutupan jerayawara ialah Penguasa Polis Pengiran Abu Naba’a bin Pengiran Haji Yusof, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada wakil ahli PK.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, dan diakhiri dengan bacaan doa penutup serta sesi bergambar ramai.

Program seumpama ini merupakan salah satu usaha PPDB dalam memperkukuh hubungan kerjasama dan ukhuwah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan, di samping meningkatkan semangat kebersamaan dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang aman, selamat dan harmoni.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI