BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 17 SEPTEMBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memaklumkan kepada orang ramai mengenai beberapa kejadian gangguan yang dilaporkan berlaku di beberapa buah restoran di kawasan perniagaan sekitar Gadong dan Kiulap, serta sebuah tempat letak kereta di Gadong Properties. Sebanyak empat laporan polis telah diterima berhubung kejadian-kejadian tersebut.
Susulan siasatan awal yang dijalankan, seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun telah ditahan di kawasan berhampiran Pos Polis Kiulap bagi membantu siasatan. Suspek dipercayai individu yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi kejadian berkenaan. Suspek telah ditahan bagi siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke mahkamah.




PPDB menekankan kepentingan orang ramai untuk segera membuat laporan polis sekiranya mendapati harta benda mereka mengalami kerosakan atau berlaku sebarang kejadian yang mencurigakan. Laporan awal dapat membantu pihak polis mengambil tindakan dengan segera serta memudahkan proses siasatan.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis amat dihargai bagi membantu usaha bersama dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
