BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 17 SEPTEMBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyertai Mesyuarat Peringkat Tinggi Ketua-Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Asia Ke-22 (22nd High-Level Meeting of the Heads of Asian Coast Guard Agencies – HACGAM) yang berlangsung dari 7 hingga 11 September 2026 di Hangzhou, Republik Rakyat China.
Delegasi negara dianggotai oleh Pmk Pengarah Gerakan, Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah bersama Pegawai Pemerintah Polis Marin, Penguasa Polis Kasnol bin Haji Muhammad Kincho.
Perhimpunan serantau berprestij ini telah dianjurkan oleh China Coast Guard selaku tuan rumah. Mesyuarat HACGAM Ke-22 merupakan platform strategik yang menghimpunkan pimpinan utama agensi keselamatan dan penguatkuasaan maritim dari seluruh rantau Asia bagi memperkukuh kerjasama operasi, mempromosikan keselamatan pelayaran serta menangani cabaran keselamatan maritim rentas sempadan.



Pelbagai perbincangan, sesi dialog dua hala dan bengkel teknikal telah diadakan dengan memberi tumpuan kepada lima pilar utama HACGAM, iaitu pencarian dan penyelamatan (search and rescue) maritim, perlindungan alam sekitar laut, pencegahan dan pengendalian perbuatan haram di laut, pembangunan kapasiti serta perkongsian maklumat dan latihan sepadu. Perbincangan tersebut turut menekankan usaha memperkukuh koordinasi tindak balas kecemasan di laut, menangani pencemaran dan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, rompakan di laut dan penangkapan ikan secara haram (IUU Fishing), di samping meningkatkan keupayaan serta kerjasama antara agensi penguatkuasaan maritim melalui pertukaran kepakaran, latihan bersama dan perkongsian maklumat.
Penyertaan aktif PPDB dalam Mesyuarat HACGAM Ke-22 ini mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi menyokong keselamatan, kestabilan dan keamanan perairan melalui pendekatan kolaboratif serta pematuhan kepada undang-undang maritim antarabangsa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
