BRUNEI-MUARA, JUMAAT, 11 SEPTEMBER 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) terus mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah siber melalui taklimat “Kesedaran Jenayah Siber” yang diadakan di Sekolah Sukan dan Institut Perkhidmatan Awam (IPA), baru-baru ini.
Taklimat di Sekolah Sukan dihadiri oleh Pengetua Sekolah Sukan, Yang Mulia Cikgu Alexander bin Badang, bersama 26 orang tenaga pengajar dan 152 orang penuntut Tahun 7 dan Tahun 9. Manakala, taklimat bersempena Program Persediaan Persaraan di IPA pula dihadiri oleh 37 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam yang bakal memasuki alam persaraan.
Kedua-dua taklimat disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad yang memberikan pendedahan mengenai pelbagai bentuk penipuan dalam talian, termasuk penyamaran sebagai pegawai bank, polis atau agensi kerajaan, penipuan e-dagang serta tawaran pekerjaan sambilan yang menyasarkan golongan tertentu. Para peserta turut diingatkan mengenai bahaya menjadi “keldai akaun” dengan menyerahkan, meminjamkan atau menyewakan akaun bank dan kad SIM kepada pihak lain.




Dalam pada itu, peserta diperkenalkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 sebagai saluran untuk mendapatkan nasihat dan bantuan sekiranya berdepan dengan penipuan atau perkara yang mencurigakan.
Melalui pendekatan mendekati pelbagai lapisan masyarakat, BSJS akan terus memperkukuhkan usaha pendidikan dan pencegahan jenayah siber agar orang ramai lebih berwaspada serta bijak melindungi diri, akaun dan maklumat peribadi dalam persekitaran digital.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
