KUALA BELAIT, ISNIN, 17 OGOS 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyampaikan taklimat bertajuk “Kesedaran Jenayah Siber” sempena Program Literasi Penerangan Daerah Belait anjuran Jabatan Penerangan yang berlangsung di Daerah Belait.
Program tersebut dihadiri oleh para belia berusia antara 15 hingga 35 tahun dan bertujuan meningkatkan tahap kesedaran serta memperkukuhkan pengetahuan golongan muda mengenai ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa, di samping membentuk sikap lebih peka dalam melindungi diri ketika menggunakan platform digital.
Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, yang menekankan dua isu utama yang sering menyasarkan golongan belia, iaitu penipuan dalam talian (online scam) dan penyalahgunaan akaun bank atau kad SIM sebagai “keldai akaun”.


Dalam sesi tersebut, para peserta diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan, termasuk tawaran pekerjaan bergaji lumayan, hadiah lumayan serta pinjaman yang terlalu mudah dan meragukan. Mereka turut diingatkan bahawa menyerahkan akaun bank atau kad SIM kepada individu lain merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh menyebabkan seseorang disiasat, didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang, walaupun hanya berniat untuk membantu.
Selain itu, peserta turut disarankan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi atau berkongsi maklumat peribadi. Sebarang keraguan berkaitan penipuan dalam talian hendaklah segera dirujuk kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 bagi mendapatkan nasihat dan pengesahan.
Melalui program seumpama ini, BSJS bersama Jabatan Penerangan akan terus komited memperluaskan usaha pendidikan dan kesedaran awam bagi melahirkan masyarakat, khususnya golongan belia, yang celik digital, bertanggungjawab serta tidak mudah menjadi mangsa atau terlibat sebagai pelaku jenayah siber.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
