BRUNEI MUARA, KHAMIS, 13 OGOS 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai pengedaran surat palsu bertajuk “Notice of Involvement in Investigation”, yang menggunakan lambang serta nama PPDB, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Jabatan Siasatan Jenayah serta penyamaran menggunakan waran kad palsu PPDB. Turut dikesan ialah penyamaran sebagai pegawai polis melalui penggunaan waran kad PPDB palsu.
Surat berkenaan akan mendakwa penerimanya terlibat dalam siasatan kes penipuan di bawah Seksyen 420 serta disiasat oleh pihak polis dan INTERPOL. Penerima turut diarahkan agar merahsiakan perkara tersebut daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan orang lain, disamping diugut dengan tindakan undang-undang jika gagal mematuhi arahan berkenaan.

PPDB menegaskan bahawa surat tersebut adalah PALSU dan bukan dikeluarkan oleh pihak PPDB.
Kandungannya dipercayai merupakan sebahagian daripada taktik penipuan dan penyamaran bagi menakutkan mangsa serta mendorong mereka menyerahkan wang, maklumat perbankan atau maklumat peribadi.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk:
1. Jangan panik atau terus mempercayai sebarang surat, panggilan atau pesanan yang mendakwa mereka terlibat dalam siasatan jenayah.
2. Jangan menghubungi sebarang nombor telefon atau membuka pautan yang diberikan oleh pihak yang mencurigakan.
3. Jangan menyerahkan wang, kata laluan, nombor PIN, kod OTP atau maklumat perbankan kepada sesiapa.
4. Jangan memindahkan wang ke mana-mana akaun kononnya atau menyerahkan wang bagi tujuan siasatan atau keselamatan.
5. Mengesahkan kesahihan dengan membuat pertanyaan dengan menghubungi Talian Bantuan Anti-Penipuan (Anti-Scam Helpline) 16993, Talian Kecemasan Polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Orang ramai juga diingatkan bahawa pihak berkuasa tidak akan meminta wang, pemindahan wang atau maklumat perbankan melalui panggilan telefon, aplikasi pesanan seperti WhatsApp atau surat yang mencurigakan. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang ugutan atau dakwaan bahawa mereka terlibat dalam siasatan jenayah tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu. PPDB memandang serius sebarang perbuatan menyalahgunakan nama, lambang dan identiti pasukan bagi tujuan penipuan serta menyeru orang ramai untuk segera melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
