GADONG, KHAMIS, 13 OGOS 2026 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. bagi Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Surau Polis Gadong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir menyambut ketibaan Tetamu Kehormat ialah Timbalan Penguasa Polis Abdul Hafizazuddin bin Haji Abdul Wahab, selaku Pengerusi Badan Ugama Islam. Turut hadir ialah para Pengarah, Timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai PPDB, ahli-ahli pangkat rendah serta kakitangan awam.

Majlis dimulakan sejurus selepas Solat Fardhu Maghrib berjemaah dengan bacaan Dikir Syarafil Anam sebagai tanda bermulanya pengisian sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Solat Fardhu Isyak berjemaah.

Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. di samping menghayati perjuangan, akhlak serta sunnah Baginda sebagai panduan dalam kehidupan seharian dan pelaksanaan tugas.

Melalui penganjuran majlis seumpama ini, adalah diharapkan agar ia dapat memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga PPDB di samping menyemai nilai-nilai murni serta meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI