BRUNEI MUARA, ISNIN, 10 OGOS 2026 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran serta memperkukuhkan inisiatif membanteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada dua puluh dua (22) orang kakitangan Kedutaan Filipina di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.



Objektif utama taklimat ini adalah untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran para peserta mengenai kaedah mengenal pasti individu yang berpotensi menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang di negara ini. Pihak penguatkuasa dan agensi barisan hadapan disarankan agar sentiasa berwaspada serta mengenal pasti identiti individu yang berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Kerjasama pihak Kedutaan selaku agensi berkepentingan amat diperlukan bagi memainkan peranan dalam menangani isu pemerdagangan manusia, di samping bersama-sama membantu PPDB membanteras jenayah ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
