BRUNEI MUARA, KHAMIS, 6 OGOS 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, khususnya yang melibatkan pinjaman tidak wujud (Loan Scam) dan penipuan jual beli dalam talian (E-Commerce Scam).
Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa akaun Facebook yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud (Loan Scam), antaranya Finance Solution Bn, Niaga Loan Berjaya, Gazebo Klasik Brunei, Successful and Trustworthy Online Loan, dan Fast Privacy Niaga Berjaya.
Berdasarkan laporan-laporan polis yang diterima setakat ini berkaitan akaun-akaun Facebook tersebut, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa dianggarkan sebanyak BND4,270.00.
Selain itu, siasatan turut mendapati beberapa akaun media sosial di TikTok dan Instagram yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan jual beli dalam talian (E-Commerce Scam), antaranya Prelovedgarmin.bn dan Pre-Owned Garmin Brunei di TikTok, serta Runess.my.bn, Runess.sports, chronorun.bn, dan nextgen_garmin di Instagram.

Berdasarkan laporan-laporan polis yang diterima setakat ini berkaitan akaun-akaun tersebut, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa dianggarkan sebanyak BND8,220.00.
Taktik yang sering digunakan untuk mengumpan bakal mangsa ialah dengan menawarkan pinjaman yang mudah diluluskan tanpa syarat yang ketat, atau menawarkan pelbagai barangan untuk dijual pada harga yang menarik. Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran deposit atau bayaran pendahuluan sebelum pinjaman diproses atau pembelian dapat diteruskan, lazimnya dikatakan sebagai yuran pemprosesan, caj guaman, caj insurans, bayaran pelepasan dana, atau wang jaminan. Setelah pembayaran dibuat, suspek sama ada meminta bayaran tambahan atau terus memutuskan komunikasi tanpa memberikan pinjaman mahupun barangan yang dijanjikan.
Sehubungan itu, PPDB menasihatkan orang ramai supaya:
- Tidak membuat sebarang pembayaran deposit atau bayaran pendahuluan kepada individu atau syarikat yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
- Membuat semakan terlebih dahulu terhadap identiti penjual atau pemberi pinjaman sebelum menjalankan sebarang transaksi.
- Tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman yang terlalu mudah diluluskan atau harga jualan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.
- Segera menghentikan urusan sekiranya diminta membuat bayaran tambahan yang mencurigakan.
PPDB menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini atau telah menjadi mangsa supaya segera tampil membuat laporan di balai polis yang berhampiran atau menghubungi Talian Bantu Anti-Penipuan di talian 16993 untuk nasihat lanjut. Kerjasama orang ramai amatlah dihargai dalam usaha membanteras jenayah penipuan siber serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
