BRUNEI MUARA, Selasa, 2 Jun 2026 – Daerah Polis Brunei Muara (DPBM), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah berjaya menahan 7 warganegara tempatan bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan kes kecurian kabel.

Tangkapan telah dibuat hari ini di beberapa lokasi berasingan hasil tindakan susulan dan siasatan yang dijalankan oleh DPBM dengan kerjasama anggota-anggota Special Duties (SD), Balai Polis Bandar Seri Begawan serta Balai Polis Berakas.

Siasatan awal mendapati beberapa suspek mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut, termasuk merosakkan dan mencuri kabel tembaga (copper cable) yang dipercayai dijual semula untuk memperoleh keuntungan. Siasatan turut mendapati terdapat beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam membantu proses pengupasan kabel berkenaan.

Kesemua suspek yang terdiri daripada 5 lelaki dan 2 wanita berusia antara 32 hingga 43 tahun, bersama barang bukti termasuk peralatan pemotong kabel, telah ditahan dan dirampas bagi tujuan siasatan. Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22). Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam beberapa kes kecurian kabel lain yang pernah dilaporkan.

PPDB memandang serius kegiatan kecurian kabel kerana perbuatan tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada pemilik harta benda, malah boleh menjejaskan kemudahan dan perkhidmatan awam. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah seumpama ini diseru untuk menyalurkannya kepada pihak polis melalui balai polis berdekatan atau talian kecemasan 993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI