TEMBURONG, Sabtu 19 Feb 2022 – 2 insiden berasingan mengenai penemuan barang-barang tegahan telah terbongkar berikutan daripada rondaan pencegahan yang dijalankan di dua buah (2) kawasan di Daerah Temburong semalam. 

Kejadian pertama adalah hasil daripada rondaan sepadu keanggotaan daripada Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) beserta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan tanpa pemandu ditinggalkan di kawasan persimpangan Jalan Bekarut, Temburong pada 18 Februari 2022 sekitar jam 10.35 malam. 

Pemeriksaan dijalankan dan menemukan terdapat beberapa bungkusan kotak berwarna hitam tersimpan di dalam kenderaan berkenaan dipercayai barangan tegahan. Kenderaan beserta penemuan barangan mencurigakan dibawa ke Balai Polis Bangar, PPDB bagi siasatan awal. 

Hasil daripada pemeriksaan tersebut telah mendapati sebanyak 140 botol dan 816 minuman keras pelbagai jenama ditemui beserta 50 katon rokok. 

Manakala insiden kedua berlaku pada 18 Februari 2022 sekitar jam 11 malam bilamana keanggotaan detektif Balai Polis Bangar, PPDB sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan Kg Bekarut telah menemukan beberapa kotak plastik hitam yang mencurigakan diletakkan di kawasan semak berdekatan Kuala Sungai Bekarut. 

Kesemua barangan tersebut dibawa ke Balai Polis Bangar bagi dijalankan siasatan. Hasil daripada pemeriksaan telah mendapati sebanyak 100 botol dan 384 tin minuman keras dan juga sebanyak 100 katon rokok pelbagai jenama ditemukan. 

Seterusnya kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam. 

Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI