TUTONG, RABU, 25 NOVEMBER 2026 – Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF), telah melaksanakan Eksesais Solar Wind VII bertempat di Padang Tembak Binturan, Penanjong Garison, pada 16 hingga 19 November 2026. Eksesais yang melibatkan hampir 100 orang peserta ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPDB dan SPF dalam meningkatkan kesiapsiagaan operasi khususnya dalam bidang siasatan pasca letupan (Post-Blast Investigation), di samping memperkukuhkan kerjasama antara agensi tempatan dan luar negara.

Sebanyak lima letupan sebenar telah diledakkan sepanjang eksesais tersebut, diikuti dengan latihan siasatan di lokasi kejadian letupan yang disertai oleh para peserta. Latihan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran peserta dalam mengendalikan tempat kejadian, mengumpul bahan bukti, mengenal pasti punca letupan serta meneliti dan membina semula kronologi yang membawa kepada kejadian tersebut.

Turut mengambil bahagian dalam eksesais ini ialah dua orang anggota daripada Skuadron Kedua, Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan, Rejimen Jurutera, Tentera Darat Diraja Brunei (2Skn KBRL RJ TDDB). Penglibatan mereka turut memperkukuhkan jalinan kerjasama antara agensi dalam bidang siasatan pasca letupan.

Pelaksanaan eksesais ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB dan SPF dalam memantapkan keupayaan penyiasatan forensik serta memperkasa perkongsian kepakaran dan amalan terbaik bersama SPF dan agensi-agensi keselamatan negara yang lain dalam menangani insiden-insiden berkaitan letupan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI