BANDAR SERI BEGAWAN, RABU, 25 NOVEMBER 2026 – Seorang wanita warga Filipina, Gricelle Cabalquinto Dayanan, yang bekerja sebagai Gold Specialist di sebuah kedai emas telah dijatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama tujuh tahun enam bulan setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan Pecah Amanah Jenayah di bawah Seksyen 408, Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan lima pertuduhan Pengubahan Wang Haram di bawah Seksyen 3(1)(a), Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012.
Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah mendapati bahawa dari bulan Mei 2024 hingga Ogos 2026, pesalah telah menyalahgunakan barang kemas emas yang diamanahkan kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Bagi menyembunyikan perbuatan tersebut, pesalah telah menyediakan resit pembelian palsu menggunakan nama pelanggan palsu bagi menunjukkan seolah-olah barang kemas berkenaan telah dibeli oleh pelanggan. Barang kemas tersebut kemudiannya dijual atau digadai di beberapa premis kedai emas lain, dan hasil jualannya dihantar kepada keluarganya di luar negara melalui perkhidmatan kiriman wang. Hasil pemeriksaan di premis-premis kedai emas yang berkaitan juga telah membawa kepada penemuan semula sebahagian daripada barang kemas berkenaan.
Kepercayaan yang diberikan dalam pekerjaan merupakan amanah yang tidak sepatutnya disalahgunakan. Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan para pengusaha perniagaan supaya memperketat kawalan inventori, menjalankan pemeriksaan stok secara berkala, memastikan rekod jual beli sentiasa teratur serta memantau sebarang transaksi yang mencurigakan. Pengusaha perniagaan juga diingatkan supaya melaksanakan usaha wajar (due diligence) bagi memastikan barangan dalam setiap transaksi perniagaan tidak diperoleh daripada hasil jenayah.
Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui atau mengesan sebarang kegiatan yang mencurigakan, serta melaporkan sebarang kejadian jenayah di balai polis yang berhampiran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
