BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 9 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama INTERPOL Financial Crime and Anti-Corruption Centre (IFCACC) dan Uppsala Security telah mengadakan National Training on Virtual Asset Investigation di bawah INTERPOL Project CAST (Crypto-focused Action on Scam Threats) yang berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober 2026 lalu.
Kursus selama tiga hari ini disertai oleh 23 orang peserta daripada PPDB dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB). Kursus ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran peserta dalam menangani jenayah kewangan dan penipuan dalam talian yang melibatkan aset maya, termasuk mata wang kripto.
Para peserta didedahkan kepada asas teknologi rantaian blok (blockchain), transaksi Bitcoin dan kontrak pintar (smart contracts), serta kaedah menganalisis dan menjejaki transaksi aset maya. Kursus ini turut merangkumi penggunaan alat analisis dan latihan amali bagi menghasilkan maklumat yang dapat menyokong siasatan.


Project CAST merupakan kesinambungan objektif Project RESCUE dalam meningkatkan keupayaan negara anggota INTERPOL memerangi penipuan berasaskan teknologi siber, khususnya yang melibatkan aset maya.
Majlis penutup kursus dihadiri oleh Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis Haji Azree bin Haji Abd Manaf, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah Yang Mulia Muhammad Arrafi bin Ali, Criminal Intelligence Officer, IFCACC dan Ipsita Das, Head of Business Development, Uppsala Security.
Dalam ucapannya, tetamu kehormat menekankan kepentingan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh bagi meningkatkan mutu siasatan, khususnya dalam pengumpulan dan analisis maklumat transaksi serta pemeliharaan bukti digital. Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi ilmu di jabatan dan unit masing-masing serta meneruskan kerjasama antara PPDB dan BDCB.
Penyertaan kedua-dua institusi turut membuka ruang bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman serta memperkukuh hubungan kerja dalam menangani jenayah kewangan yang melibatkan aset maya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
