GADONG, RABU, 7 Oktober 2026 – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yassin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang ke-80 tahun, yang berlangsung pada 6 Oktober 2026 lalu.
Majlis yang diadakan di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis itu dihadiri oleh Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Di-Pertua PEKERTI dan Yang Mulia Datin Nur Akmalia binti Lt. Kol (B) Awang Iskandar, isteri Timbalan Pesuruhjaya Polis selaku Pengerusi PEKERTI. Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat, diikuti dengan bacaan Surah Yassin beramai-ramai yang dipimpin oleh Ustazah Norerny binti Emran.
Seterusnya, doa khas serta bacaan selawat pilihan diketuai oleh Ustazah Dayang Norliza binti Abdul Jalil, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah.



Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan PEKERTI dan dikendalikan oleh Badan Keugamaan PEKERTI yang dipengerusikan oleh Suriyanti binti Haji Suhaimi bersama Timbalan Pengerusi, Nur Nadiyah binti Haji Awang Ghazali. Majlis ini diadakan sempena Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri selaku Penaung PEKERTI.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
