BRUNEI MUARA, KHAMIS, 03 SEPTEMBER 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyampaikan dua sesi taklimat kesedaran jenayah siber kepada kakitangan kerajaan di Institut Perkhidmatan Awam (IPA).

Sesi pertama menerusi Program Digital Literacy telah dihadiri oleh seramai 30 orang kakitangan kerajaan dengan memberi fokus kepada kepentingan celik digital dan mengenal pasti risiko dalam penggunaan internet. Sementara itu, sesi kedua melalui Program Induksi Perkhidmatan Awam disertai oleh 181 orang kakitangan kerajaan baharu dengan penekanan terhadap tanggungjawab dan integriti penjawat awam di era digital.

Kedua-dua sesi telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad yang mengetengahkan trend semasa jenayah siber, termasuk penipuan pelaburan, pinjaman wang dan penyamaran sebagai agensi kerajaan. Peserta turut diingatkan agar tidak menyerahkan, menyewakan atau meminjamkan kad SIM dan akaun bank kepada pihak ketiga kerana boleh disalahgunakan bagi kegiatan jenayah.

Dengan jumlah keseluruhan seramai 211 orang peserta, program berkenaan dihasrat dapat meningkatkan kesedaran penjawat awam terhadap ancaman jenayah siber. Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 bagi menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penipuan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI