BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 12 Mei 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai peningkatan tren kes penipuan yang melibatkan jual beli kenderaan dan telefon bimbit melalui  ruang jualan Facebook (Marketplace), serta kes penipuan pembekalan barangan kepada agensi kerajaan menggunakan dokumen rasmi yang dipalsukan.

Bagi kes penipuan jual beli dalam talian, PPDB menerima laporan daripada pembeli dan penjual yang telah ditipu oleh suspek yang mengiklankan kenderaan dan telefon bimbit melalui media sosial. Suspek menggunakan gambar kenderaan dan telefon bimbit yang diambil daripada akaun media sosial penjual asal tanpa pengetahuan mereka. Bagi melancarkan penipuan, suspek menggunakan akaun bank milik orang lain bagi menerima pembayaran daripada pembeli dengan alasan wang tersebut akan dipindahkan kepada penjual asal setelah urusan jual beli selesai. Namun demikian, penjual tidak menerima sebarang pembayaran dan pembeli pula tidak menerima barangan yang dijanjikan.

Bagi kes penipuan pembekalan kepada agensi kerajaan pula, suspek menghubungi mangsa melalui telefon bimbit atau aplikasi WhatsApp untuk membuat tempahan barangan atas nama projek atau acara kerajaan. Bagi meyakinkan mangsa, suspek menghantar dokumen seperti pesanan belian (Purchase Order), surat rasmi atau tender yang mengandungi logo, cop dan tandatangan agensi kerajaan yang telah dipalsukan. Suspek turut mengarahkan mangsa membuat pembayaran kepada syarikat-syarikat lain yang tidak dikenali bagi memenuhi keperluan tempahan tersebut, dan ini merupakan punca kerugian yang dialami oleh sebahagian syarikat mangsa. Mangsa hanya menyedari penipuan ini apabila berhubung secara langsung dengan agensi kerajaan berkenaan dan mendapati tiada sebarang tempahan dibuat serta dokumen yang diterima adalah palsu.

Bagi melindungi diri daripada kedua-dua jenis penipuan ini, PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Bagi pembeli dan penjual dalam talian, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah atau tidak munasabah. Sebarang pembayaran hendaklah dibuat terus kepada penjual asal dan bukan kepada mana-mana pihak ketiga. Urusan jual beli juga hendaklah dilakukan secara bersemuka di tempat yang selamat.
  2. Bagi syarikat perniagaan dan pembekal yang menerima tempahan daripada agensi kerajaan, adalah dinasihatkan agar menggunakan platform rasmi kerajaan seperti Government Vendor Portal (GVP) bagi proses perolehan/perbekalan serta mengesahkan kesahihan sebarang tempahan. Syarikat juga diingatkan agar tidak terpedaya dengan dokumen rasmi yang dikongsi melalui WhatsApp atau emel peribadi, dan hendaklah membuat pengesahan melalui nombor telefon atau emel rasmi agensi kerajaan sebelum sebarang tempahan diproses.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan atau mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan seumpama ini dinasihatkan agar membuat laporan di balai polis yang berdekatan atau menghubungi talian kecemasan polis di nombor 993. Orang ramai yang masih dalam urusan jual beli dalam talian dan meragui kesahihan sesuatu tawaran atau pembekalan, juga boleh mendapatkan nasihat dengan menghubungi talian bantuan polis di nombor 16993 sebelum sebarang pembayaran atau transaksi dibuat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI