BANDAR SERI BEGAWAN, SABTU, 21 NOVEMBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima lawatan kerja delegasi Australian Federal Police (AFP) pada 17 dan 18 November 2026 bagi memperkukuh kerjasama kepolisan serta meneroka peluang pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran. Lawatan tersebut diaturkan oleh Unit Hal Ehwal Luar INTERPOL dan ASEANAPOL, PPDB.
Delegasi AFP terdiri daripada Detective Superintendent Melinda Adam, Pegawai Kanan AFP bagi Singapura dan Negara Brunei Darussalam, serta Sergeant Matthew Montalto dari Pasukan Respons Taktikal AFP yang menyertai sesi bersama Pasukan Gerak Khas PPDB pada hari pertama lawatan.
Pada hari kedua, Detective Superintendent Melinda Adam mengadakan pertemuan bersama Unit Hal Ehwal Luar INTERPOL dan ASEANAPOL serta wakil Bahagian Latihan dan Jabatan Perisikan Jenayah di Ibu Pejabat PPDB. Perbincangan merangkumi perkembangan draf Memorandum Persefahaman antara PPDB dan AFP, peluang latihan, perkongsian kepakaran perisikan serta penyelarasan kerjasama dua hala.


Beliau turut bertemu dengan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah, termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, bagi membincangkan usaha menangani penipuan dalam talian, analisis bahan bukti digital, perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi dalam talian serta peningkatan kemahiran menemu bual kanak-kanak dan mangsa yang memerlukan perlindungan khas.


Lawatan ini mencerminkan komitmen PPDB dan AFP untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan serta meningkatkan keupayaan kepolisan. Unit Hal Ehwal Luar INTERPOL dan ASEANAPOL akan terus menjadi penghubung bagi tindakan susulan bersama AFP.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
