BRUNEI-MUARA, SABTU, 21 NOVEMBER 2026 – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah menjalankan satu operasi bersepadu di dua lokasi di Kampong Mulaut, Kilanas dan Kampong Kiarong. Operasi tersebut melibatkan lima unit di bawah Jabatan Siasatan Jenayah dengan kerjasama Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Operasi yang diketuai oleh Penguasa Polis Hj Justin bin Hj Yacob, Ketua Bahagian Jenayah Besar, JSJ ini bertujuan mengesan kesalahan di bawah bidang kuasa PPDB, termasuk kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang (Penggal 230), di samping membolehkan agensi yang terlibat menjalankan tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Seramai 63 orang telah disiasat sepanjang operasi. Hasilnya, JKED telah menahan tiga orang lelaki warganegara asing yang dipercayai memiliki rokok berjumlah 181 batang.

JTMP pula telah mengenal pasti 14 kesalahan majikan yang melibatkan tiga buah syarikat berdasarkan keterangan pekerja. Antara kesalahan tersebut ialah gagal membayar gaji, menggaji pekerja asing tanpa lesen, gagal menyediakan kontrak perkhidmatan, gagal memberikan cuti tahunan dan cuti umum yang diwartakan, gagal menyediakan perlindungan insurans serta gagal menyediakan perbelanjaan pulang pekerja ke negara asal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah boleh menghubungi pihak polis melalui talian kecemasan 993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI