BANDAR SERI BEGAWAN, KHAMIS, 8 Oktober 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerusi Polis Daerah Brunei-Muara telah berjaya merungkai 19 kes pecah kereta dan menahan seorang suspek yang dipercayai bertanggungjawab ke atas siri jenayah tersebut di beberapa kawasan di Daerah Brunei-Muara.
Siasatan mendapati suspek menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan tumpuan awam dan kawasan kediaman. Antara lokasi yang terlibat termasuk kawasan rekreasi seperti Wasai Sungai Akar dan Bukit Shahbandar, tempat letak kereta kompleks sukan dan masjid, serta petak letak kereta berhampiran premis perniagaan dan kawasan perumahan di Berakas, Bandar Seri Begawan, Kampong Ayer dan Sengkurong.


Suspek dipercayai mengambil kesempatan ke atas kenderaan yang diletakkan tanpa pengawasan, terutamanya pada awal pagi, lewat malam dan semasa waktu puncak aktiviti riadah. Suspek memecahkan cermin tingkap kenderaan untuk mengambil barang berharga yang ditinggalkan di dalamnya.
Suspek telah ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) atas kesalahan mencuri dan merosak barang.
PPDB mengingatkan orang ramai, khususnya pemandu, agar sentiasa berwaspada. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barang berharga seperti barangan elektronik, beg tangan atau wang tunai di tempat yang mudah dilihat di dalam kenderaan, serta memastikan kenderaan sentiasa dikunci apabila diletakkan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
