GADONG, RABU, 7 Oktober 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menahan seorang wanita warganegara asing dalam satu serbuan ke atas sebuah premis penginapan di Kompleks Abdul Razak, Gadong.
Serbuan yang dijalankan adalah hasil maklumat orang ramai serta pemantauan berterusan pihak polis berhubung kegiatan tidak bermoral yang dipercayai berlaku di premis berkenaan.
Dalam serbuan tersebut, seorang wanita warganegara asing berusia 38 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.



Wanita tersebut bersama barang bukti yang dirampas telah dibawa ke pejabat USPPPM untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).
Operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis penginapan tidak disalahgunakan untuk kegiatan yang melanggar undang-undang, di samping menjaga ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral diminta untuk menghubungi talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
