BELAIT, KHAMIS, 5 NOVEMBER 2026 – Balai Polis Labi, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan majlis penyampaian surat lantikan kepada ahli baharu Pengawasan Kejiranan (PK) bagi kawasan Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Rumah Panjang Mendaram Besar dan Rumah Panjang Bang Taong, Daerah Belait.

Surat lantikan tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis Mohd ‘Izzuddin Hanis bin Haji Md Salleh kepada 22 orang ahli baharu.

Mereka terdiri daripada enam orang ahli baharu Mukim Bukit Sawat yang diketuai oleh Penghulu Mukim Bukit Sawat merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman; lapan orang ahli baharu Mukim Sukang yang diketuai oleh Penghulu Mukim Sukang, Shahronizam bin Haji Mohammad Noh; enam orang ahli baharu Mukim Labi yang diketuai oleh Ketua Kampong Labi 1, Mohammad Ariffin bin Haji Abdul Rahman; serta dua orang ahli baharu dari Rumah Panjang Mendaram Besar.

Penambahan ahli ini diharapkan dapat menarik lebih ramai penduduk kampung untuk sama-sama berganding bahu mencegah jenayah, menjaga keselamatan dan kesejahteraan kampung serta memperkukuh organisasi PK di kawasan tadahan masing-masing.

Kerjasama erat antara PPDB dan ahli-ahli PK juga dijangka akan memperkasa lagi penyaluran maklumat, aktiviti rondaan dan pemantauan bagi membendung kegiatan jenayah dengan lebih berkesan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI