SENGKURONG, Selasa 2 Jun 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah-Daerah Polis sentiasa berusaha dalam meningkatkan kesiapsiagaan khususnya menangani pembanterasan sebarang aktiviti-aktiviti jenayah dan juga yang berkaitan dengan pelanggaran akta lalulintas. 

Salah satu strategi yang memberikan impak dan sangat berkesan ialah melalui operasi-operasi melibatkan sekatan jalanraya. Selain mengesan kesalahan-kesalahan berkaitan lalulintas ianya juga memberikan kesan dalam memberikan pendidikan dan kesedaran kepada para pemandu akan kepentingan mematuhi akta lalulintas bagi tujuan kebaikan serta kemaslahatan penduduk dan rakyat negara ini. 

Sehubungan itu, satu operasi yang dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Sengkurong PPDB telah mencatatkan 9 kesalahan kompaun hasil daripada operasi sekatan jalanraya yang di jalankan di Lebuhraya Muara / Tutong pada 2 Jun 2020 yang lalu. 

Operasi diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Penolong Penguasa Percubaan Polis (P/ASP) Abdul Hakim Ansyari bin Abdul Rahman bersama 12 orang anggota balai. 

Antara kesalahan kompaun yang dikeluarkan seperti cukai jalan mansuh, lampu plat lesen tidak menyala, lesen memandu mansuh serta menggunakan kenderaan persendirian untuk tujuan perniagaan tanpa lesen yang sah. 

Operasi sedemikian akan sentiasa dijalankan dan pertingkatkan dari semasa ke semasa.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI