BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 12 NOVEMBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima beberapa laporan berhubung kes penipuan dalam talian melibatkan penjualan kenderaan melalui platform Facebook Marketplace. Dalam kes – kes tersebut, pembeli dan pemilik kenderaan menjadi mangsa kepada individu yang bertindak sebagai pihak ketiga atau “broker”.
Berdasarkan laporan – laporan yang diterima, suspek hanya berhubung dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan tidak pernah bersemuka atas pelbagai alasan, termasuk mendakwa tidak berada di negara ini. Mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran ke akaun bank yang diberikan oleh suspek, sedangkan akaun tersebut bukan milik pemilik kenderaan. Bagi mengelakkan helah tersebut diketahui, suspek turut melarang pembeli dan pemilik kenderaan daripada membincangkan harga yang ditawarkan antara satu sama lain.
Sehubungan itu, PPDB menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan urusan jual beli kenderaan yang melibatkan pihak ketiga yang tidak dikenali. Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak secara terburu-buru dan sentiasa mengesahkan maklumat melalui sumber yang boleh dipercayai. Sebarang komunikasi atau transaksi hendaklah dihentikan dengan segera sekiranya terdapat pihak yang memaksa atau mendesak pembayaran dibuat dengan cepat.
Sebarang kejadian penipuan boleh dilaporkan melalui talian bantuan 16993.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
