BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 12 NOVEMBER 2026 – Satu Latihan Kebangsaan mengenai Siasatan Senjata di bawah inisiatif Project Stonefish anjuran INTERPOL telah berlangsung selama tiga hari di Centrepoint Hotel, Gadong.
Latihan tersebut disertai oleh seramai 30 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, keselamatan serta jabatan berkaitan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik serta Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
Project Stonefish memberi tumpuan kepada usaha menangani penyeludupan, pemerdagangan, pengalihan dan perolehan haram senjata api, peluru serta bahan yang boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan dan awam, khususnya bahan nuklear dan radiologi. Bahan-bahan ini berpotensi disalahgunakan oleh organisasi pengganas dan kumpulan jenayah terancang. Asia Tenggara pula dikenal pasti sebagai salah satu laluan transit penting bagi aktiviti penyeludupan tersebut.
Latihan ini disampaikan oleh Line Haidar, Pegawai Khusus Senjata Api INTERPOL; Nadia Larsson, Pengurus Projek INTERPOL; Edward S. Lee, Pegawai Khusus Pencegahan Keganasan INTERPOL; serta Grant Alexander Hildreth, Pembantu Pasukan INTERPOL.




Latihan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan peserta dalam siasatan berkaitan senjata. Ia juga bertujuan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara agensi dalam menangani ancaman keselamatan rentas sempadan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
