BRUNEI-MUARA, SABTU, 31 OKTOBER 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang menjalankan siasatan berhubung satu kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang buruh meninggal dunia. Kemalangan tersebut berlaku pada hari Jumaat, 30 Oktober 2026, kira-kira jam 11.00 pagi, di Lebuhraya Rimba, berhampiran persimpangan lampu isyarat Simpang 177-10.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun dan seorang pekerja buruh lelaki warganegara asing berumur 43 tahun. Menurut siasatan awal, mangsa bersama beberapa orang rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di bahu jalan. Semasa melintas jalan raya untuk menuju ke kenderaan mereka, mangsa telah dilanggar oleh kereta berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik manakala pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS). Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan atau mempunyai sebarang maklumat mahupun rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang berkaitan untuk tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Kecemasan Polis 993 atau dengan menghadirkan diri ke balai polis yang berhampiran.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
