BANDAR SERI BEGAWAN, JUMAAT, 23 OKTOBER 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan empat sesi Taklimat Kesedaran Jenayah Siber kepada kakitangan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Bank TAIB dan Jabatan Penerbangan Awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai ancaman jenayah siber serta langkah-langkah pencegahannya.

Dua sesi telah diadakan pada 17 Oktober 2026 bagi kakitangan EGNC dan Bank TAIB, manakala dua lagi sesi diadakan baru-baru ini bagi kakitangan Jabatan Penerbangan Awam.

Kesemua sesi tersebut telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dari BSJS. Taklimat berkenaan merangkumi pelbagai taktik penipuan dalam talian, termasuk modus operandi yang digunakan oleh penjenayah siber untuk memperdaya orang ramai dan kakitangan organisasi.

Taklimat turut menekankan kesalahan berkaitan keldai akaun, khususnya perbuatan memberikan atau meminjamkan kad SIM dan akaun bank kepada pihak ketiga bagi tujuan yang menyalahi undang-undang. Para peserta diingatkan bahawa perbuatan tersebut boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, dan pemilik akaun boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang penyalahgunaan akaun berkenaan.

Para peserta juga diberikan penerangan mengenai Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 sebagai saluran untuk membuat pengesahan dan menyalurkan maklumat berkaitan kes penipuan yang disyaki.

Melalui penyampaian taklimat kepada kakitangan daripada pelbagai bidang ini, PPDB berharap pengetahuan yang dikongsikan dapat meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan peserta terhadap ancaman jenayah siber, seterusnya mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI