BRUNEI-MUARA, KHAMIS, 15 OKTOBER 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah menyampaikan taklimat mengenai Kesedaran Jenayah Siber kepada warga Brunei Gas Carriers (BGC) di Jerudong. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Polis Adinin bin Haji Ahmad.
Taklimat tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman jenayah siber, khususnya taktik penipuan dalam talian yang semakin berleluasa. Antara perkara yang dikongsikan ialah modus operandi penipuan seperti penipuan penyamaran pegawai kerajaan (Government Official Impersonation Scam), penipuan jual beli dalam talian, penipuan skim pelaburan dan penipuan pinjaman dalam talian.


Taklimat tersebut turut menekankan kesalahan menjadi keldai akaun, termasuk perbuatan memberikan atau meminjamkan kad SIM dan akaun bank kepada pihak ketiga, yang boleh menyebabkan pemilik asal dipertanggungjawabkan atas sebarang penyalahgunaan. Selain itu, warga BGC turut diperkenalkan kepada Talian Bantu Anti-Penipuan 16993 sebagai saluran untuk mendapatkan pengesahan dan membuat laporan berkaitan penipuan.
Melalui taklimat ini, warga BGC diharap akan lebih berwaspada dan mengambil langkah perlindungan diri serta keluarga daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
