BRUNEI MUARA, Khamis 30 Sept 2021 – Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan dan Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang menjalankan siasatan mengenai kes yang melibatkan penyewaan akaun bank persendirian bagi tujuan kegiatan-kegiatan yang melibatkan perjudian dalam talian.
Terkini, satu penahanan telah dibuat ke atas seorang lelaki warganegara tempatan berumur 26 tahun yang dipercayai terlibat menyewakan akaun bank dan penyewaan talian telefon untuk kegunaan kegiatan berkenaan.
Siasatan awal juga mendapati, taktik ataupun Modus Operandi yang digunakan oleh sindiket berkenaan adalah dengan menghantar pesanan ringkas (SMS) menggunakan nombor talian negara asing kepada nombor-nombor talian tempatan secara rambang dengan menawarkan penyewaan bank akaun persendirian dengan bayaran sejumlah wang sekitar $200 ke $250 sebulan dan sebanyak $50 ke $60 bagi penyewaan talian telefon. Jika ada yang berminat, perjumpaan akan dibuat bagi menyerahkan kad ATM atau Kad SIM telefon kepada sindiket berkenaan.
Oleh yang demikian, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan dan menasihatkan kepada orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada tawaran dan rayuan kegiatan sindiket tersebut dengan ;
1- Tidak menyewakan nombor talian persendirian untuk kegiatan perjudian atau berunsur jenayah.
2- Jangan menyalahgunakan internet atau mana-mana platform media sosial bagi kegiatan jenayah.
3- Jangan menyewakan atau memberikan akses akaun bank peribadi untuk kegiatan jenayah.
Kegiatan perjudian secara dalam talian ini sentiasa mendapat perhatian umum dan jika tidak dibenteras akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
