LIMAU MANIS, Jumaat 5 Mac 2021 – Usaha kerjasama di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui Taskforce Covid-19 telah sekali lagi membuahkan hasil apabila pasukan peronda telah berjaya menghalang satu percubaan untuk membawa masuk barang tegahan ke dalam Negara Brunei Darussalam.
Pada 5 Mac 2021, sekitar jam 1554hrs di kawasan Junjongan 2 Kg Limau Manis, pasukan peronda Taskforce telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 46 tahun kerana dipercayai membawa masuk barang tegahan iaitu 6 katon rokok pelbagai jenama. Turut ditemukan bersama suspek ialah peralatan-peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dibawa masuk secara tidak sah.
Suspek bersama kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Limau Manis bagi siasatan lanjut dan kes ini akan diambil alih siasatannya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa memastikan penugasan di kawasan sempadan dipantau dan diperketatkan dari masa ke semasa. Ianya adalah untuk menyekat kemasukan individu-individu secara haram bagi mengekang penularan wabak Covid-19 selain membanteras kesalahan-kesalahan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
