GADONG, Sabtu 29 Mei 2021 – Seramai 49 Rekrut Lelaki Polis Tambahan Skuad 1 Tahun 2021 yang menjalani latihan asas telah menamatkan latihan mereka diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Polis Tambahan Skuad 1 Tahun 2021 bertempat di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada rekrut-rekrut terbaik ialah Yang Mulia Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Dato Paduka Haji Awang Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad. 

Rekrut APO 7281 Nurhelmizan bin Jali @ Helmi Anak Jali dipilih sebagai Rekrut Terbaik Akademik Polis Tambahan Skuad 01/2021. Manakala Rekrut Terbaik Latihan Luar bagi Polis Tambahan Skuad 01/2021 ialah Rekrut APO 7294 Muhammad Rafie Afandi bin Razali.

Turut hadir, pegawai-pegawai dan anggota-anggota PPDB serta ahli keluarga rekrut yang menamatkan latihan. 

Kemuncak upacara tersebut diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa gerak perlahan dan cepat serta mara ke hadapan untuk diperhati semula. 

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Ustaz Sewarddy bin Haji Abdullah Sani, Ketua Guru Ugama Pusat Latihan Polis. 

Aturcara seterusnya di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis yang mana tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada rekrut-rekrut yang berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai bersama para bekas rekrut yang diraikan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI