TEMBURONG, Ahad 29 Ogos 2021 – Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan tiga (3) orang suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan curi kabel milik Syarikat UNN di kawasan Kampung Sibulu, Daerah Temburong.
Insiden curi yang dilaporkan berlaku pada 28 Ogos 2021 itu telah menggerakkan keanggotaan balai serta petugas pegawai keselamatan Daimun bagi membantu membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Hasil daripada pemantauan yang dijalankan dan maklumat yang diperolehi telah membawa kepada penahanan 3 orang suspek curi tersebut semasa sedang memandu kenderaan di kawasan Jalan Bangar pada 29 Ogos 2021 jam kira-kira 09.55 pagi.
Sejurus pemeriksaan dijalankan di bahagian bonet kenderaan suspek telah menemukan sejumlah wayar-wayar besi dan tembaga dipercayai potongan wayar kabel yang telah dicuri. Turut ditemukan ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyalahgunaan dadah.
Suspek pertama dan kedua adalah lelaki yang berumur 33 dan 36 tahun, manakala suspek ketiga adalah perempuan berumur 24 tahun. Ketiga-tiga suspek merupakan warganegara tempatan.
Beberapa peralatan dan perkakas untuk kegiatan mencuri kabel telah dirampas dan dijadikan bahan bukti bagi kertas penyiasatan. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan dan untuk siasatan lanjut pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan juga di bawah Seksyen 427, akta yang sama yang boleh dihukum pemenjaraan tidak melebihi 5 tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali.
Pasukan Polis Diraja Brunei menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa mengongsikan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan jenayah melalui talian 993 ataupun ke Balai-balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
