TEMBURONG, Rabu 6 Okt 2021 – Dua (2) orang suspek dalam pencarian Pihak Polis kerana dipercayai membawa barangan tegahan dan barangan yang tidak diisytiharkan. 

Melalui pemantauan dan risikan yang dijalankan pada 5 Oktober 2021 sekitar jam 1.08 petang, keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengenal pasti sebuah kenderaan sedang berada di kawasan Taman Perayaan Bangar, Daerah Temburong dalam keadaan mencurigakan. 

Arahan telah dikeluarkan bagi pemandu (suspek) untuk memberhentikan kenderaannya malah diabaikan justeru memecut laju dan melarikan diri. Insiden kejar-mengejar telah berlaku dan keanggotaan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) telah turut dikerah bagi memberikan bantuan untuk membuat penahanan. 

Semasa kejadian tersebut, suspek telah bertindak melanggar dan merosakkan beberapa barang harta kerajaan seperti palang jambatan, papan tanda dan kon polis ketika sekatan jalanraya sedang dijalankan. 

Suspek kemudiannya memandu memasuki kawasan persimpangan Perkuburan Islam Kg Meniup lalu berhenti di penghujung jalan dan bertindak keluar dari kenderaan bersama penumpang. Suspek dan penumpang didapati telah terjun dan berenang melarikan diri menyeberangi Sungai Pendaruan dan memasuki kawasan Limbang, Malaysia. 

Pemeriksaan kenderaan segera dijalankan dan menemukan sejumlah 16 barangan kesihatan dan kecantikan pelbagai jenama, 35 kotak beras pulut merah, 10 botol madu, barangan kenderaan dan 98 paket barang tegahan rokok. 

Oleh yang demikian, PPDB memohon kerjasama daripada orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat terhadap salah seorang suspek yang masih dalam pencarian Pihak Polis. 

Suspek 

Nama : Mohamad Kassim bin Haji Mudin 

Nama gelaran : Tempe 

Umur : 47 tahun 

Warganegara : Brunei 

Bangsa : Melayu 

Adalah diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai bahawa mana-mana individu yang melindungi mana-mana suspek jenayah seperti rompakan akan didakwa di bawah Seksyen 216 A, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh yang tidak melebihi 7 tahun dan denda. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI