TUTONG, Sabtu 17 Oktober 2020 – Pada 17hb Oktober 2020, kira-kira jam 10:41 pagi serbuan Judi 4D dijalankan menggunakan waran geledah di kawasan Kampung Luagan Timbaran Tutong. Serbuan diketuai oleh seorang pegawai dan lapan orang anggota Balai Polis Tutong dan Balai Polis Lamunin. 

Semasa serbuan dijalankan, suspek iaitu sipenjual adalah seorang lelaki penduduk tetap, berumur 60 tahun, tidak bekerja. Turut bersubahat dengan sipenjual adalah seorang wanita berumur 50 tahun warganegara Filipina yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada sipenjual. Semasa serbuan dijalankan, Pasukan Polis Diraja Brunei juga mendapati seorang lelaki dipercayai sebagai pembeli, warganegara Bangladesh berumur 39 tahun yang bekerja sebagai tukang mesin rumput. 

Pengeledahan dibuat di seluruh kawasan dalam rumah suspek dan menjumpai sejumlah wang taruhan. Juga dijumpai satu telefon bimbit jenis Samsung Note 8 milik wanita warga Filipina yang bersubahat mengandungi nombor 4D yang telah dihantar oleh pelanggan dipercayai untuk melanggan aktiviti judi 4D. Satu potongan kertas kecil mengandungi nombor taruhan 4D dan wang ringgit berjumlah BND11.00 juga dijumpai yang mana pada waktu serbuan kertas tersebut telah pun ditelan oleh sipenjual. 

Kesemua barang bukti telah pun dirampas dan ketiga-tiga suspek dikeluarkan jaminan polis sebanyak BND1,000.00 tunai setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(C) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28 yang membawa kepada hukuman denda maksimum sebanyak BND 20,000.00 dan 12 bulan penjara.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI