BRUNEI MUARA, Khamis 26 Ogos 2021 – Seorang pekerja tempatan maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di kawasan Jambatan SHOAS hala ke Temburong pada 26 Ogos 2021 sekitar jam 9 pagi tadi. 

Hasil siasatan awal Pihak Polis, mangsa yang maut merupakan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 20 tahun dan dipercayai sedang menyusun kon-kon keselamatan sebelum memulakan penugasan di jambatan berkenaan. 

Selang tidak lama selepas itu, kelihatan sebuah kenderaan jenis saloon yang dipandu dalam keadaan laju telah melanggar kon-kon keselamatan lalu merempuh ke salah seorang pekerja seraya terhumban ke dalam sungai. 

Mangsa yang maut kemudian diselamatkan, dibawa keluar daripada sungai lalu dikejarkan ke Hospital RIPAS dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis BSB sedang menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian. 

Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di jalan raya. 

Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa diri sendiri atau orang lain.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI