MUARA, Isnin 19 Oktober 2020 – Semasa rondaan rutin yang dikendalikan oleh Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei telah memberkas seorang lelaki warga tempatan kerana membawa bersamanya barang tegahan iaitu rokok.
Sebanyak satu ribu lapan ratus empat puluh (1840) katon barang tegahan iaitu rokok pelbagai jenama telah berjaya dirampas hasil daripada penahanan berkenaan.
Rondaan sungai yang dijalankan pada waktu malam 18 Oktober 2020 itu telah menerima maklumat dari orang awam mengenai 2 buah bot yang mencurigakan menghala ke sungai Menunggol. Semasa pihak polis mendekati kawasan sungai berkenaan, kehadiran pihak polis telah disedari suspek dan suspek terus mengubah haluan dengan tujuan untuk melarikan diri.
Siasatan dan pemeriksaan lanjut ke atas suspek, pihak polis telah menemui kotak-kotak yang berisi rokok yang cuba disembunyikan berdekatan dari bot suspek ditemui. Suspek serta barang-barang tegahan segera dipunggah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk dijalankan siasatan awal. Seterusnya kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan dalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari masa ke semasa khususnya di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
