TEMBURONG, Khamis 1 Okt 2020 – Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya memberkas 2 orang suspek beserta barang-barang tegahan di dalam sebuah kenderaan yang berlaku di kawasan Daerah Temburong.
Dalam kejadian tersebut, sewaktu rondaan pencegahan dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Temburong telah menemukan sebuah kereta berwarna merah yang mencurigakan di kawasan Kg Batang Tuau, Daerah Temburong. Apabila menyedari akan kehadiran pihak polis, kereta berkenaan terus memecut dan melarikan diri.
Kereta tersebut berhasil ditahan oleh pihak polis di kawasan Jalan Labu dan setelah pemeriksaan dijalankan ke atas kereta berkenaan telah menjumpai barang tegahan iaitu sebanyak 146 botol minuman keras pelbagai jenama.
Turut ditemui sejumlah wang kertas Ringgit Malaysia bernilai RM 2 yang dipercayai wang palsu beserta peralatan dan bungkusan plastik kecil berisi pecahan kristal dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah yang telah disembunyikan di dalam kotak rokok.

Dua orang suspek tersebut merupakan lelaki warganegara tempatan berumur 26 dan 33 tahun. Suspek-suspek berkenaan beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Temburong bagi siasatan pihak polis.
Di samping itu juga, siasatan kes turut diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan ataupun menyalurkan maklumat berkenaan melalui emel ke laman sesawang PPDB www.police.gov.bn atau di platform media sosial Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
