TEMBURONG, Sabtu 21 Ogos 2021 – Usaha yang berterusan dalam menangani pengurangan jangkitan wabak COVID-19 di negara ini, rondaan rutin keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil sekali lagi apabila berjaya menahan sebuah kenderaan yang berlegar dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan Pekan Bangar pada 20 Ogos 2021. 

Pihak Polis segera membuat pemeriksaan ke atas pemandu dan penumpang, hasil daripada pemeriksaan awal ke atas kenderaan tersebut telah menemukan 2 kotak bungkusan yang mencurigakan tersimpan di bahagian tempat duduk belakang penumpang. 

Pemeriksaan lanjut terhadap penemuan tersebut telah mendapati sebanyak 50 katon rokok pelbagai jenama dan juga 21 botol madu yang tidak diisytiharkan. 

Kedua-dua suspek adalah lelaki, warganegara tempatan yang berumur 26 dan 16 tahun telah dibawa ke Balai Polis Bangar beserta barang rampasan bagi menjalani siasatan awal dan seterusnya kertas penyiasatan diserah kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya. 

Dalam pada ini, PPDB memohon kepada orang awam agar lebih peka dan mempunyai rasa bertanggungjawab dalam sama-sama berusaha bagi memutuskan rangkaian-rangkaian penularan wabak COVID-19 ini dengan sebaiknya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI