BRUNEI MUARA, Sabtu 14 Ogos 2021 – Kerjasama orang awam amat diperlukan pada ketika ini dalam sama-sama berganding bahu bagi menyahut seruan kerajaan khasnya Kementerian Kesihatan dalam mengawal dan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui peruntukan di bawah Seksyen 63 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah dikerah untuk memberikan bantuan sepenuhnya dalam menguatkuasakan undang-undang dan akta tersebut.
Terkini ialah pemeriksaan dalam skala penuh telah dijalankan di seluruh negara melalui sekatan-sekatan jalanraya dan rondaan pemantauan di kawasan premis-premis perniagaan menumpukan kepada individu-individu yang melanggar kesalahan berkaitan dengan Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Tumpuan pemeriksaan juga ialah seperti memastikan aturan pemakaian sungkup muka sentiasa dipatuhi, memastikan aplikasi Bruhealth ada dimuat turun, sentiasa mengemaskini dan mempamerkan kod acara kepada petugas-petugas di lapangan bagi mengetahui situasi kondisi keadaan setiap individu berkenaan.
Jika ada didapati sesiapa yang melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang dikeluarkan maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan akan dikenakan denda seperti kompaun sebanyak BND100, BND5,000 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada denda sehingga BND10,000 atau penjara sehingga tempoh 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Berikutan dengan perintah tersebut, orang ramai adalah disarankan untuk mematuhi serta melaksanakan peranan dan tanggungjawab selaku penduduk negara ini terutama sekali mematuhi semua arahan serta larangan yang ditetapkan sepanjang tempoh ianya berkuatkuasa bagi mengelakkan daripada penularan wabak COVID-19 ini.
Jika ada mengetahui atau terdapatnya maklumat mengenai perlanggaran arahan, orang ramai adalah disarankan untuk segera mengongsikan serta menghubungi talian kecemasan penguatkuasa undang-undang yang berkenaan bagi tindakan yang sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
