PENGKALAN BATU, Sabtu 19 Jun 2021 – Usaha kerjasama di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menerusi Operasi Rondaan TaskForce COVID-19 telah berhasil menemukan sejumlah minuman keras yang telah dilonggokkan di kawasan hutan semak Kg Junjongan, Pengkalan Batu, Daerah Brunei Muara.
Ada pun penemuan tersebut adalah berpunca daripada perkongsian maklumat orang awam terhadap kegiatan yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
Sejurus maklumat perkongsian diterima keanggotaan peronda segera ke tempat kejadian dan telah menemukan kelibat dua (2) orang individu sedang memunggah bungkusan plastik hitam dipercayai minuman keras dan segera melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota peronda.
Penemuan bungkusan dipercayai minuman keras itu dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan dan hasil pemeriksaan telah mengesahkan barang tegahan adalah berjumlah 431 tin dan 12 botol minuman keras pelbagai jenama.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
