TEMBURONG, Isnin 16 Ogos 2021 – Menguatkuasakan akta dan undang-undang dalam pengawalan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di negara ini adalah merupakan objektif utama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada ketika ini.
Peroperasian yang berterusan dengan mengerakkan keanggotaan dalam strategi pemantauan dan pemeriksaan telah berhasil menahan sebuah kenderaan jenis trak pikap bersama pemandu (suspek) yang dipercayai membawa muatan barangan-barangan yang tidak diisytiharkan.
Menurut siasatan dan risikan awal keanggotaan Balai Polis Bangar, suspek bersama kenderaannya telah didapati keluar dari persimpangan Kg Batang Tuau lalu segera dibuat penahanan dan pemeriksaan di kawasan Jalan Labu, Batu Apoi, Daerah Temburong.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan sejumlah produk-produk pembersih kuman dan lain-lain barangan yang dipercayai tidak diisytiharkan seperti;
1- 90 tong kecil Fogging liquid.
2- 41 tong kecil Sani Spray Surface Sanitizer.
3- 90 kotak All Around Sanitizing Device.
4- 6 unit Pure Sanitized Air.
5- 30 unit Tripod Stand.
Suspek merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 21 tahun dan kesemua barangan telah dirampas dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa patuh dan akur dengan arahan pihak kerajaan bagi memastikan kemaslahatan penduduk negara ini sentiasa terjamin dalam usaha negara membendung sepenuhnya penularan wabak COVID-19.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
